Sunday, November 17, 2013

16

Aku lihat dia termangu lagi memandang skrin komputer. Seperti selalu, relung tetikus digerakkan ke atas ke bawah bermain main dengan jemari telunjuk yang tak keruan mengemudi.

Pandangan matanya kosong. Deretan angka yang bergayutan, seperti mempermainkan retinanya yang semakin kelam. Nombor nombor itu seakan akan menari mengelilingi cahaya api, membentukkan tarian eksotik dan menghairahkan. Membawa fikiran dia menelanjangi fikiran yang separa kosong. Buntu.

Keluhan berat sudah menjangkau sepuluh kali kedengaran semenjak dua jam yang lalu.

Dia- kerana keangkuhannya beberapa bulan lalu, dia kini sudah dikambing hitamkan. Dendam aku pada dia dahulu, marah dan benci yang pernah bersarang, sekarang sudah tidak aku endah. Sudah sudah, rasanya aku menjadi jatuh kasihan melihat keadaan dia sekarang.

"Bos, rehat dulu lah. Nak kopi?" soal aku kepadanya. Sengaja, aku masih memanggil dia bos walau sekarang aku bukan lagi bekerja di bawah dia. Namun, untuk menjaga sedikit air mukanya, aku masih memberikan gelaran itu untuknya. Agar, egonya tidak terus dilenyak-lenyak sekeliling orang.

Kasihan dia.

Kasihan, tapi jahat hati aku kadang-kadang mem-padankan mukanya. Mungkin ini pembalasan?

;cuma, itu lah. Dendam itu membinasakan. Biar aku sejukkan dengan memperingati diri sendiri tentang ini.

Kita, tak selamanya di atas. Tidak, jangan harap untuk kekal selamanya di atas.

No comments:

Post a Comment