Sunday, November 17, 2013

16

Aku lihat dia termangu lagi memandang skrin komputer. Seperti selalu, relung tetikus digerakkan ke atas ke bawah bermain main dengan jemari telunjuk yang tak keruan mengemudi.

Pandangan matanya kosong. Deretan angka yang bergayutan, seperti mempermainkan retinanya yang semakin kelam. Nombor nombor itu seakan akan menari mengelilingi cahaya api, membentukkan tarian eksotik dan menghairahkan. Membawa fikiran dia menelanjangi fikiran yang separa kosong. Buntu.

Keluhan berat sudah menjangkau sepuluh kali kedengaran semenjak dua jam yang lalu.

Dia- kerana keangkuhannya beberapa bulan lalu, dia kini sudah dikambing hitamkan. Dendam aku pada dia dahulu, marah dan benci yang pernah bersarang, sekarang sudah tidak aku endah. Sudah sudah, rasanya aku menjadi jatuh kasihan melihat keadaan dia sekarang.

"Bos, rehat dulu lah. Nak kopi?" soal aku kepadanya. Sengaja, aku masih memanggil dia bos walau sekarang aku bukan lagi bekerja di bawah dia. Namun, untuk menjaga sedikit air mukanya, aku masih memberikan gelaran itu untuknya. Agar, egonya tidak terus dilenyak-lenyak sekeliling orang.

Kasihan dia.

Kasihan, tapi jahat hati aku kadang-kadang mem-padankan mukanya. Mungkin ini pembalasan?

;cuma, itu lah. Dendam itu membinasakan. Biar aku sejukkan dengan memperingati diri sendiri tentang ini.

Kita, tak selamanya di atas. Tidak, jangan harap untuk kekal selamanya di atas.

Sunday, November 10, 2013

15

Kita melihat peradaban dengan mata tertutup sedangkan peradaban membanding kita secara micro.

Wednesday, November 6, 2013

14

Bayang yang awak lihat pada muka air, awak cuma perlu campak batu kecil. Ia akan hilang dalam riak.

Tapi, bayang yang awak lihat dalam seluruh jiwa awak, mahu dibuang bagaimana?

;tak pernah akan mampu.

Sunday, November 3, 2013

13

Lebat hujan semalam menimpa fikir aku tentang kelangsungan--

sehingga mana jauh aku masih berjalan keterbelakang?
entah mengapa, aku masih berada dalam fikiran budak 14 tahun
sedang jasad aku 12 tahun lebih tua.

Trauma pelayaran hidup yang dulu,
siapa mampu untuk bantu aku olah senario baru,
untuk buat aku berjaya melihat sisip lain

dari faham aku--

betapa mempercayai itu adalah susah
dan kesusahan itu adalah nyata.

selama mana harus aku bertindak seperti budak 14 tahun yang ketakutan?

Bila harus aku sedia menerima jasad dan fikir gadis matang seusia baya seharusnya aku,

,
,
,

;masih ketakutan.

12

Aku terlupa bagaimana untuk bekerja dalam santai setelah sekian lama tercungap cungap mencari koma, saban hari.

Terima kasih Tuhan untuk senggang lapang sekarang.